Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

14 Makanan Terbaik Untuk Tulang

 

Kita semua sudah tahu mengenai kebaikan bersenam seperti mengurangkan risiko penyakit jantung, stroke, obesiti dan sebagainya. Selain itu, senaman juga membantu menguatkan dan mengekalkan kesihatan tulang. Walau bagaimanapun, ramai di antara kita yang ‘terlepas pandang’ bahawa kesihatan tulang juga boleh ditingkatkan dengan pemakanan. Tulang memerlukan nutrien yang spesifik seperti kalsium, magnesium, protein, asid lemak omega-3 serta vitamin D, A, C dan K. Oleh sebab itu, artikel kali ini akan menyenaraikan 14 makanan terbaik sebagai pembekal nutrien penting untuk kesihatan tulang anda – semuanya pun sedap-sedap belaka!

 

Buah dan Jus Oren

Buah oren adalah sumber vitamin C yang baik. Selain membantu dalam pembentukan kolagen, ia juga menyumbang kepada kesihatan tulang. Oren juga kaya dengan vitamin A, yang sangat diperlukan dalam proses tumbesaran tulang dan pembezaan sel tubuh.

 

Susu

Susu pula adalah antara sumber kalsium yang terbaik dan membantu menguatkan tulang. Malahan, satu cawan susu pun sudah membekalkan 1/3 daripada jumlah keperluan kalsium harian anda. Pilih susu rendah lemak jika anda sedang berdiet.

 

Keju parmesan

Satu lagi makanan yang kaya dengan kalsium. 1 sudu besar keju parmesan sudah mengandungi 63 mg kalsium. Boleh tahan, bukan? Selain itu, keju tersebut juga merupakan sumber protein yang baik dan mengandungi sedikit vitamin A. Jumlah kalorinya juga tidaklah banyak sangat, kira-kira 21 kalori untuk setiap sudu besar.

 

Bayam

Sayur bayam sangat baik untuk tulang kerana ianya kaya dengan kalsium, zat besi, vitamin A, C dan K. Ia juga lazat, boleh dimasak dengan pelbagai cara dan rendah kalori. Jadi, memang rugi jika sayur ini tidak termasuk dalam menu diet anda.

 

Buah Gajus

Buah gajus hanya mengandungi sedikit kalsium dan vitamin K. Namun, apa yang menjadikannya baik untuk tulang ialah magnesium, mineral serta protein yang terkandung di dalamnya.

 

Buah Kiwi

Buah kiwi kaya dengan vitamin C dan magnesium. Di samping itu, kiwi juga membekalkan kalsium, vitamin A dan K ke dalam diet harian. Bukan itu sahaja, ia juga rendah kalori dan sesuai dijadikan penambah rasa di dalam yogurt kegemaran anda.

 

Ikan salmon

Salmon bukan sahaja sumber protein yang baik, ia juga kaya dengan vitamin D dan asid lemak omega-3 yang membantu menguatkan tulang. Walaupun ikan ini mengandungi lemak sihat, jumlah kalorinya rendah sahaja.

 

Susu soya

Seperti salmon, soya juga merupakan sumber protein dan asid lemak omega-3 yang sangat baik. ia juga diperkaya dengan dengan kalsium dan vitamin D yang menjadikannya kawan baik tulang anda. Hanya pastikan susu soya pilihan anda tidak mengandungi terlalu banyak gula tambahan.

 

Jus tomato

Jus tomato mempunyai kandungan vitamin dan mineral yang tinggi, termasuklah magnesium, vitamin A dan C. Selain itu, ia juga mengandungi sedikit kalsium dan vitamin K.

 

Sayur kale

Sayur kale kaya dengan kalsium serta semua jenis vitamin dan mineral yang ada. Selain dimakan, ia juga boleh dijadikan jus sayuran yang menyihatkan.

 

 

Walnut

Walnut adalah sumber kalsium, protein, magnesium dan asid lemak omega-3 yang baik. Walaupun berkalori tinggi, jumlah yang sedikit sahaja sudah cukup mengenyangkan anda sehingga ke waktu makan yang seterusnya. Simpan walnut di dalam peti sejuk atau freezer bagi melindungi kandungan lemaknya.

 

Keju cheddar

Secara umumnya, keju membekalkan kalsium dan protein yang tinggi tetapi dalam masa yang sama juga, lemak dan kalori pun terikut sekali. Oleh itu, waspada dengan saiz hidangan anda. Satu keping keju cheddar mengandungi kira-kira 200 mg kalsium. Ia juga mengandungi vitamin A dan sedikit magnesium.

 

Yogurt

Yogurt adalah sumber kalsium dan protein yang tinggi. Satu cawan yogurt biasa mengandungi 450 mg kalsium dan 12 mg protein. Oleh sebab terdapat pelbagai jenama yogurt dengan perisa yang berbeza-beza di pasaran, berhati-hati dengan gula tambahan serta kandungan kalorinya juga.

 

Asparagus

Asparagus diperkaya dengan kalsium, magnesium, vitamin A, K dan C. Ia juga mengandungi protein dan rendah kalori. Bahkan satu cawan asparagus yang telah dimasak hanya berjumlah 40 kalori sahaja.

 

Entri: Tini Lorna Lim