Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

5 Senaman Asas Menggunakan Barbell

Terkadang sesetengah individu datang ke gym dan melakukan apa sahaja senaman mengikut keselesaan dan kemampuannya. Sedangkan untuk membina otot anda perlu membina otot asas dahulu atau dengan kata lain anda harus melakukan 5 senaman asas ini. 5 senaman ini dianggap senaman utama setiap individu dan perlu ada dalam workout plan anda.

1. Squat

Kenapa squat? Semestinya persoalan itu timbul. Anggapan sesetengah orang yang mengatakan bahawa squat adalah senaman kaki atau lower body sahaja adalah salah. Sebaliknya bila kita lakukan senaman ini, ia sebenarnya mencetuskan hormon testosteron dan hormon tumbesaran yang amat penting dalam membina muscle mass. Hormon ini akan dirembeskan ke seluruh badan kita menyebabkan bahagian atas badan juga terlibat dengan pembentukan otot semasa squat. Jadi ianya menguatkan upper body dan lower body sekaligus. Walaupun begitu ramai yang mengabaikan senaman ini kerana pada mereka senaman ini susah dan memenatkan. Sedangkan ia adalah senaman terbaik bagi anda yang ingin menambahkan otot dengan lebih besar.

2. Overhead press

Senaman ini sangat membuatkan badan anda menjadi nampak besar dan gagah kerana ia membina otot bahu anda dengan lebih berkesan.
Senaman ini melibatkan mengangkat bebanan dengan cara berdiri tegak dan menolak sekuatnya bebanan. Jadi otot-otot teras lebih aktif berkerja seperti perut, lengan dan bahu. Senaman ini sangat membentuk fizikal anda berbanding senaman lain. Oleh kerana itulah saya mengkategorikannya sebagai senaman wajib dan asas untuk semua supaya tidak mengabaikannya.

3. Bench press

Bench press memang senaman yang popular kerana ia merupakan senaman yang membentuk otot dada. Ramai ahli gym di luar sana sangat menginginkan dada yang bidang kerana jika memakai baju ia akan menampakkan dada anda yang padu itu. Namun secara asasnya senaman ini melibatkan 3 jenis otot yang berkerja iaitu dada, bahu dan triceps. Jadi berat otot anda akan bertambah dan menjadi lebih bessr dari sehari ke sehari bergantung kepada berat bebanan anda dan berapa reps yang anda lakukan. Senaman ini menjadi asas kepada anda yang inginkan dada yang bidang dan lebar kerana ia mengenakan terus pada otot dada. Kelebihan lain senaman ini ia juga membantu menguatkan tulang belakang anda jika dilakukan dengan teknik yang betul.

4. Barbell Rowing

Senaman ini pula amat penting kerana ia mensasarkan bahagian belakang anda. Senaman ini adalah senaman yang sesuai bagi individu yang ingin menambahkan kekuatan dan saiz otot. Yang menariknya senaman ini bukan sahaja mensasarkan bahagian belakang sahaja namun ia juga melatih otot bicep, dada dan punggung anda. Jika dilakukan dengan teknik yang betul anda akan lihat punggung anda akan semakin membentuk dengan menarik. Senaman ini perlu dilakukan dengan membongkok sedikit badan. Hasilnya ia akan menstabilkan postur tubuh anda. Anda harus belajar teknik senaman ini dengan betul supaya mengelakkan kecederaan pada belakang.

5. Deadlift

Nama sahaja sudah menggerunkan. Senaman ini merupakan senaman yang patut menjadi kegemaran setiap ahli gym kerana ia mengenakan otot erector spinae iaitu otot penting yang menyokong majoriti senaman dan pergerakan. Deadlift juga adalah senaman terbaik bagi anda yang ingin bakar lemak, besarkan otot, bina kekuatan dan sebagainya. Ia merupakan senaman yang membakar kalori dengan tinggi jika diangkat dengan bebanan yang berat. Antara kelebihan yang sangat mengujakan tentang senaman ini ia mengenakan hampir keseluruhan otot badan kerana senaman ini memang melibatkan pergerakan yang maksima dari hujung kaki sehingga bahagian atas badan.

Jadi secara kesimpulannya mengapa saya katakan 5 senaman di atas adalah senaman asas yang wajib dilakukan adalah kerana ianya tidak menumpukan suatu otot sahaja tetapi mengenakan beberapa otot teras yang lain juga. Jadi dalam setiap workout plan masing-masing perlu dimasukkan 5 senaman ini supaya anda akan dapat hasil yang lebih memuaskan

Entri oleh: Fakhrul Islam