Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

Adakah Berjalan Dikira Sebagai Kardio?

Patutkah kita anggapkan berjalan sebagai kardio? Maksudnya, petang-petang kita berjalan pusing taman, pagi-pagi kita berjalan pergi ke tempat kerja, dan lain-lain. Adakah ia mendatangkan kesan yang sama seperti latihan kardio konvensional?

Biasanya, apabila kita sebut tentang kardio, orang akan fikirkan satu sahaja iaitu senaman berjogging. Yang petang-petang orang suka berlari di taman tu, itulah berjogging! Dan, siapa yang nak kurus biasanya akan melakukan senaman itu dahulu. Ada yang lakukannya setiap hari, ada yang seminggu sekali.

Jadi, bolehlah kita jadikan aktiviti berjalan sebagai senaman kardio? Boleh, kalau anda jalan laju, ia menjadi satu senaman yang cukup bagus untuk membakar kalori dan mendorong kepada pembakaran lemak.

Malah, berjalan laju sebenarnya lebih mesra sendi berbanding berjogging. Ramai yang mengalami masalah sakit tumit, pergelangan kaki, lutut, dan pinggang kerana kerap berjogging. Untuk mereka ini, disarankan untuk amalkan latihan berjalan.

Dari semasa ke semasa, tambah kelajuan perjalanan. Setiap langkah diambil perlulah memastikan kedua-dua kaki berada di tanah. Berbeza dengan berjogging, ada fasa di mana anda “terapung” seketika. Untuk berjalan laju, kaki anda akan sentiasa menyentuh tanah dan tiada apungan.

Kalau anda nak tahu lagi, berjalan laju boleh jadi lebih memenatkan kerana anda perlu stabilkan badan anda sepanjang perjalanan. Otot anda akan berkerja lebih, lagi-lagi otot core.

Apa kata anda cuba amalkan jalan laju mulai sekarang? Yang ini, anda nak buat kerap pun tak ada masalah. Kalau berjogging, saya cadangkan 1-2 kali seminggu sahaja bagi mengelakkan pembakaran kalori berlebihan untuk mengekalkan jisim otot.

Entri: Aiman Radzi