Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

Adakah Jogging Wajib Untuk Kurus?

Dah menjadi adat kepada kita semua apabila kita cakap tentang nak kurus, kita akan pergi berjogging. Itu sahaja yang ramai orang tahu lakukan. Dan, tak lupa juga, kalau cakap nak kurus mesti akan kata tak boleh makan nasi. Fenomena ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia.

 

Kalau anda tak pergi berjogging, adakah anda ditakdirkan untuk jadi gemuk seumur hidup? Macam mana dengan mereka yang tak boleh pergi berjogging? Mungkin mereka ada masalah kaki ataupun lain-lain. Memang sejak azali mereka tak boleh jadi kuruskah?

 

Jogging bukan sesuatu yang wajib kalau anda nak jadi kurus. Malah, kalau anda tak mahu berjogging langsung pun boleh dan anda masih boleh jadi kurus. Pengawalan berat badan tidak terletak pada jogging atau tak jogging. Sebaliknya, ia terletak pada pemakanan.

 

Adakah anda memakan mengikut keperluan badan, ataupun anda makan mengikut nafsu? Kalau anda makan ikut nafsu, jangan tanya kenapa badan anda masih belum kurus-kurus. Tapi, ada sesetengah daripada kita yang dah macam tak makan apa langsung, tapi badan masih gemuk. Kenapa begini?

 

Ini juga satu masalah, dah kata nak kurus mereka fikir tak boleh makan langsung. Dalam hal ini, anda kena masukkan senaman sedikit supaya ada rangsangan untuk badan anda berfungsi bagi membakar lemak. Tetapi, anda kena makan lebih sedikit supaya badan anda mempunyai tenaga yang cukup untuk proses tersebut.

 

Ya, nak membakar lemak pun memerlukan tenaga. Kalau anda tak makan langsung dan anda pergi bersenam keras, mungkin sekali yang turut terbakar bersama lemak adalah jisim otot. Lebih menyedihkan kalau lemak tak terbakar tetapi otot pula yang menjadi mangsa.

 

Sekarang, jogging bukan benda wajib untuk kurus. Senaman lain pun sama juga. Ramai yang dah buktikan mereka boleh kurus tanpa senaman. Jadi, apa fungsi senaman? Kalau anda nak kekalkan badan dalam keadaan kurus untuk jangka masa lama, di situlah datangnya kepentingan bersenam.

 

Anda bersenam supaya anda boleh tingkatkan metabolisme badan dan juga membina otot, sekali gus memaksa badan anda untuk sentiasa berada dalam tahap metabolisme tinggi. Pendekkan kata sahaja, kalau anda memiliki gaya hidup aktif dan badan anda berjisim otot optimum, anda akan bakar kalori dengan baik sepanjang masa.

 

Ingat, jogging bukan yang wajib apabila anda nak kurus. Yang wajib itu ialah pemakanan yang betul. Macam mana nak tahu pemakanan betul atau tidak? Anda boleh mulakan dahulu dengan mengamal pemakanan mengikut piramid pemakanan.

 

Entri: Aiman Radzi