Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

Berapa Kali Leg Day Seminggu

Jarang orang tanya berapa kali nak kena buat leg day dalam seminggu, tetapi saya kena jawab sebab ada yang bertanya dalam ruangan komen di page ini. Kalau boleh, ramai nakkan jawapan kosong kali dalam seminggu untuk latihan kaki.

Wahai pembaca semua, janganlah anda malas untuk melatih kaki. Sesungguhnya kaki ayam itu bukanlah lambang imej seseorang yang sado. Jangan bagi alasan mudah untuk masuk ke skinny fit jeans.

Apabila seseorang itu bertanya berapa kali seminggu dia patut latih otot sekian-sekian, soalan sebenarnya adalah berkaitan frekuensi latihan. Frekuensi bermaksud kekerapan, Dan apabila kita berkata tentang frekuensi latihan bermaksud berapa kerap patut anda buat senaman tersebut.

Frekuensi akan bermain dengan intensiti dan juga isipadu latihan. Tiga kompenan ini ibarat seperti satu segitiga di mana anda hanya boleh memilih dua sahaja daripada tiga komponen ini dalam satu-satu masa. Pilih mengikut matlamat anda.

Jika frekuensi dilakukan dengan kerap, pilih sama ada anda nak tinggikan isipadu atau pun nak tinggikan intensiti. Kalau anda nak hentam semua sekali, nanti lama-lama jangan lupa ajak saya datang ke majlis tahlil anda.

Untuk fokus kepada bina badan, perkara asas yang anda kena pegang adalah semakin kerap anda lakukan senaman untuk bahagian tersebut, maka semakin cepat juga otot itu membesar. Lagi banyak stimulasi anda berikan, lagi banyak rangsangan hipertrofi.

Tetapi bagaimana nak lakukan latihan dengan kerap kalau badan anda terlalu letih? Di sini datangnya kedudukan dua lagi komponen yang tadi. Jika anda nak lakukan latihan anda dengan frekuensi tinggi, anda kena tukar-tukar.

Sebagai contoh, kalau anda buat latihan kaki tiga kali seminggu, 2 sesi daripada 3 itu mungkin boleh dilakukan secara tinggi intensiti, dan baki 1 sesi lagi dilakukan secara tinggi isipadu. Maksudnya, 2 sesi menggunakan bebanan yang berat, 1 sesi menggunakan bebanan yang ringan. Cara ini memberi peluang kepada otot anda untuk berehat.

Itu adalah contoh untuk latihan tiga kali seminggu. Anda boleh buat dua kali, tak ada masalah. Malah, itulah yang selalu dilakukan oleh otai-otai kita. Cuma apabila mereka hendak fokus kepada satu bahagian yang mereka lemah, mereka akan lebihkan frekuensi untuk bahagian tersebut sahaja.

Entri: Aiman Radzi