Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

Berlapar Bukanlah Cara Diet Yang Betul

Tahukah anda, diet bukan bermaksud tak makan dan berlapar sepanjang masa? Diet sebenarnya bermaksud pemakanan, dan apabila anda sedang “diet”, anda menjaga makan dan bukannya sampai tak makan. Terlalu ramai yang salah tafsir perkataan diet ini. Biasanya, orang yang baru mula dalam dunia fitnesslah.

 

Kalau anda tak makan, anda akan menyekat badan anda daripada mendapat nutrisi yang secukupnya bagi proses-proses metabolisme badan. Tenaga badan anda juga akan berkurangan dan paling sadis, jisim otot anda terlalu mudah untuk berkurang. Yang kekal dan mungkin sekali bertambah adalah jisim lemak.

 

Ya, meskipun anda diet tak makan, lemak anda belum tentu terbakar. Ada kes yang sampai naik lemak lagi adalah, tetapi berat turun. Ini berlaku kerana badan mereka telah menyekat pembakaran lemak tetapi menurunkan jisim otot.

 

Anda kena faham, badan kita lebih gemarkan menyimpan lemak berbanding menyimpan otot. Kalau anda memang jenis tidak aktif dengan aktiviti fizikal, maka badan tidak akan memerlukan jisim otot begitu tinggi. Bukan nak cakap apa, ramai daripada kita yang tidak memiliki jisim otot optimum pun. Jadi, kalau badan buang lagi jisim otot, nak tinggal apa?

 

Jaga makan bermaksud anda membuat keputusan pilihan makanan anda secara bijak. Pilihan makanan menjadi kualiti dalam diet anda. Kemudian, anda kena jaga pula kuantiti makanan yang anda ambil. Kalau jaga kualiti sahaja tetapi masih ambil terlebih banyak, anda tetap akan jadi gemuk dan diet anda tidak menjadi.

 

Kata kunci dalam perenggan di atas ialah “terlebih banyak”. Makan banyak sebenarnya tak ada masalah, lagi-lagi kalau anda memang jenis aktif dan bersenam. Yang menjadi masalah ialah mereka yang memakan terlebih banyak daripada keperluan badan mereka. Lantas, lebihan tersebut akan disimpan sebagai lemak.

 

Sekarang, apa yang anda kena buat adalah “mencuci” pelan pemakanan anda. Mulakan dahulu dengan tidak memakan makanan-makanan yang diproses dan makanan-makanan segera. Kurangkan pula makanan dan minuman manis. Kalau makan makanan berkuah, ambil 3 sudu sahaja kuah.

 

Pernah dengan tentang konsep suku-suku separuh? Separuh suku daripada pinggan anda sepatutnya terisi dengan protein dan serat (sayur-sayuran), dan suku lagi adalah karbohidrat. Kumpulan karbohidrat adalah seperti nasi dan kawan-kawannya yang lain. Dalam kata mudah, hidangan utama anda. Itu kena ambil suku, yang lain ambil lebih.

 

Anda cuba yang itu dahulu, saya jamin anda boleh nampak perubahan dalam beberapa minggu percubaan anda. Apabila anda sudah selesa dengan gaya pemakanan tersebut, anda boleh kaji lebih dalam lagi tentang gaya-gaya pemakanan sihat. Jangan lupa juga untuk pergi bersenam!

Tag: