Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

Filem Seram Pun Boleh Membakar Kalori

Menonton filem sangat sinonim dengan suasana yang relaks dan menghiburkan. Tetapi, berlainan pula apabila kita sedang menonton filem seram. Babak suspen akan membuatkan jantung berdegup kencang dan anda dapat merasakan ‘adrenaline rush’ semakin pesat mengalir ke seluruh tubuh. Rasa macam nak lari, tetapi mata masih terlekat pada skrin. Namun, ada satu lagi kesan daripadanya iaitu, pembakaran kalori.

Pada tahun 2012, sebuah kajian yang menarik telah dijalankan oleh University of Westminster mengenai kesan menonton filem seram terhadap tubuh kita. Dr. Richard Mackenzie yang mengetuai kajian tersebut, memberikan penjelasan yang berikut:

Semasa menonton filem seram, kadar degupan jantung dan nadi menjadi semakin laju, maka peredaran darah ke seluruh tubuh juga semakin pesat. Ini menyebabkan tubuh kita melepaskan hormon adrenalin dengan cepat – hormon sama yang dilepaskan ketika kita berada dalam keadaan stress seperti mengangkat bebanan berat atau situasi yang mencemaskan. Aliran adrenalin ini seterusnya akan mengurangkan selera makan.

Kebanyakan kita mungkin pernah mengalami situasi yang sama: Semasa menonton filem seram, tiba-tiba hilang selera makan. Popcorn tak bersentuh pun. Mungkin sebab terlalu fokus dengan babak suspen, bukan? Tetapi sebenarnya tubuh kita sedang bertindak balas kepada aliran adrenalin tersebut dengan memberitahu anda “Tiada masa untuk makan sekarang, cepat lari!” Menonton filem seram bukan sahaja mengurangkan selera makan, ia juga meningkatkan basal metabolic rate dan membantu membakar kalori. Filem yang berdurasi 90 minit boleh membakar lebih kurang 110 kalori. Mungkin jumlahnya tidaklah banyak sangat. Namun, bila difikirkan semula, semua kalori ini dibakar ketika kita sedang duduk. Jadi boleh tahanlah juga.

Justeru, filem seram mana yang terbaik dalam menghasilkan kesan pembakaran kalori? Sudah tentulah filem yang banyak babak suspen dan memeranjatkan. Malah, pasukan penyelidik dari University of Westminster mengendalikan kajian yang terperinci bagi mencari filem mana satu yang boleh membakar lebih banyak kalori. Inilah senarai Top 10 mereka:

  • The Shining – 184 Kalori
  • Jaws – 161 Kalori
  • The Exorcist – 158 Kalori
  • Alien – 152 Kalori
  • Saw – 133 Kalori
  • A Nightmare on Elm Street – 118 Kalori
  • Paranormal Activity – 111 Kalori
  • The Blair Witch Project – 105 Kalori
  • The Texas Chain Saw Massacre – 107 Kalori
  • REC – 101 Kalori

Rancangan komedi juga boleh membakar kalori, walaupun tidak banyak. Seorang individu biasa boleh membakar 10-40 kalori dengan ketawa selama 15 minit.

 

Entri: Tini Lorna Lim