Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

Jom Buat Regangan Dengan Tuala!

Kelenturan yang baik akan memastikan otot yang lebih cekap serta julat pergerakan sendi (range of motion) yang maksimum. Di samping itu, ia juga mengurangkan risiko kecederaan. Salah satu cara bagi meningkatkan serta mengekalkan kelenturan anda ialah dengan melakukan regangan. Anda boleh membuat regangan dengan cara yang konvensional yakni secara kendiri, ataupun dengan bantuan tuala, stretching strap, skipping rope, tali pinggang pun boleh. Bantuan tersebut boleh digunakan sehingga kelenturan anda telah meningkat dan boleh melakukannya sendiri. Artikel kali ini akan menyenaraikan 5 jenis regangan asas yang boleh dilakukan dengan tuala, stretching strap dan sebagainya. Luangkan masa beberapa minit setiap hari untuk sesi regangan, sebelum tidur pun boleh. Usaha anda pasti akan berbaloi.

 

Regangan hamstring

Kumpulan otot hamstring terletak di belakang paha. Jika hamstring anda ketat, bahagian tersebut akan mudah menjadi tegang, terutamanya semasa bersenam atau bersukan. Sewaktu berjalan pun, anda susah untuk melangkah panjang dan belakang anda pula akan rasa kurang selesa.

Cara regangan: Letakkan tuala di hujung kaki, tarik dan tahan selama 30 saat. Ulang 3 kali.

 

 

Regangan kuadriseps

Kumpulan otot kuadriseps (quads) terletak di bahagian depan paha. Oleh sebab ia merentasi tempurung lutut, otot ini berperanan dalam menguatkan sendi lutut anda. Jika otot quads ketat atau tegang, lutut boleh jadi sakit dan keadaan ini juga boleh membawa kepada Patellofemoral Stress Syndrome (PFSS) atau Illiotibial Band Friction Syndrome (ITBS).

Cara regangan: Dalam posisi meniarap, letakkan tuala di pergelangan kaki, tarik dan tahan selama 30 saat. Ulang 3 kali.

 

 

Regangan betis

Kumpulan otot betis terdiri daripada gastronemius dan soleus. Otot ini disambungkan dengan tumit melalui tendon Archilles. Oleh sebab itu, jika otot betis ketat, kaki akan mulai terasa sakit akibat keradangan pada tendon Archilles. Apabila dilenturkan dengan baik, anda bukan sahaja dapat mengelakkan sakit kaki, simptom ketegangan dan kekejangan betis juga akan berkurangan.

Cara regangan: Duduk tegak dan lunjurkan kedua belah kaki di hadapan anda. Letakkan tuala di hujung kaki, tarik dan tahan selama 30 saat. Ulang 3 kali.

 

 

Regangan rotator cuff

Rotator cuff ialah kumpulan otot dan tendon yang mengelilingi sendi bahu. Jika otot rotator cuff ketat, bahu akan sakit. Selain itu, julat pergerakan sendi bahu juga turut merosot, terutamanya semasa mengangkat tangan melebihi paras kepala. Postur tubuh juga akan terjejas sekali.

Cara regangan: Angkat dan letakkan satu tangan ke belakang dengan memegang hujung tuala. Kemudian tangan yang satu lagi memegang hujung tuala sebelah bawah pula. Tarik tuala ke atas dengan perlahan-lahan sehingga bahu rasa tegang sedikit. Tahan posisi selama 30 saat dan ulang 3 kali.

 

 

Regangan dada

Otot dada juga dikenali sebagai pectoralis group. Cantuman otot tersebut bermula dari tulang dada hingga ke bahu. Jika otot dada kurang lentur, postur akan jadi bongkok dan seterusnya membawa kepada rasa sakit di bahagian leher, belakang serta bahu. Selain itu, postur tersebut juga sedikit sebanyak boleh mengganggu pernafasan anda.

Cara regangan: Letakkan kedua-dua tangan ke belakang sambil memegang hujung tuala dan angkat sehingga anda dapat rasakan sedikit ketegangan di bahagian dada. Tahan posisi selama 30 saat dan ulang 3 kali.

 

 

 

Entri: Tini Lorna Lim