Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

Kebenaran Di Sebalik Senaman Wajah

Kita sudah biasa dengar tentang senaman aerobik tetapi, bagaimana pula dengan facerobics? Pernahkah anda mendengarnya? Facerobics adalah senaman wajah yang bertujuan untuk mengurangkan lemak di sekitar wajah dan menghalang kedutan melalui beberapa pergerakan otot muka. Sejauh mana senaman ini berkesan? Tidak bagi Dr. Jeffrey Spiegel, Chief of Plastic & Reconstructive Surgery dari Boston University School of Medicine.

Sekarang di mana pun kita boleh jumpa tips senaman yang boleh menghilangkan ‘double-chin’, mengecilkan pipi dan menghilangkan kedut. Dalam erti kata lain, senaman ini menggunakan teknik “spot reduction” iaitu mensasarkan bahagian tertentu untuk mengurangkan lemak. Namun, Dr. Spiegel tidak bersetuju.

Secara umumnya, setiap senaman akan membakar kalori dan menyingkirkan lemak. Namun, kita tidak boleh tentukan kalori bahagian mana yang akan dibakar dulu. Senaman muka akan menguatkan otot, tetapi jika individu tersebut melakukannya untuk mengecilkan pipi atau menghilangkan double-chin, lupakan sahaja.

Satu-satunya cara untuk mengurangkan lemak di bahagian muka adalah dengan diet serta senaman. Memang cliché, tetapi itulah kenyataannya. Walaupun kita tidak boleh tentukan secepat mana lemak di muka dapat dikurangkan, lambat laun kesan positifnya akan kelihatan juga.  Namun, perlu diingatkan bahawa setiap individu mempunyai bentuk wajah yang berbeza disebabkan struktur tulang, jadi hasilnya juga turut berbeza.

Lagi satu, ada yang melakukan senaman muka dengan harapan ia akan mengurangkan kesan kedutan di wajah. Namun, kesan jangka panjang senaman ini begitu berbeza sekali. Otot muka merupakan satu web kompleks yang melekat pada tulang, kulit dan sesama otot yang lain. Tetapi, kulit wajah tak macam tulang kerana ia sangat elastik. Jadi senaman muka hanya akan meregangkannya (stretch), bukan menegangkan (tighten). Dr. Spiegel mengibaratkan senaman “toning” kulit wajah sama seperti “Jangan minum kalau anda dahaga”.

Hal ini kerana, kedutan di wajah sebenarnya disebabkan oleh aktiviti otot muka yang berlebihan. Jadi, lebih kerap rutin senaman wajah, lebih cepat berkedut sebenarnya. Kesannya terbalik, bukan? Sebab itulah kedutan akan mulai kelihatan di hujung mata, hujung bibir dan dahi dahulu. Kita gunakan semua otot ini semasa kita mengerutkan dahi, senyum, ketawa, menangis dan ekspresi wajah yang lain sepanjang masa, bukan? Oleh sebab itu, sebaiknya kita berbalik kepada kaedah “old-fashioned” di dalam usaha mengekalkan kesihatan dan keserian wajah iaitu;

  • Diet sihat
  • Senaman
  • Perlindungan daripada cahaya matahari (sinaran UV)
  • Kekalkan hidrasi tubuh
  • Gunakan pelembab wajah yang baik
  • Urutan Facial Acupressure juga baik untuk melegakan ketegangan kulit wajah

 

Jangan Keliru Dengan Rawatan Perubatan

Walaupun facerobics bagi tujuan estetika bukanlah suatu idea yang baik, senaman muka digunakan secara meluas di dalam bidang fisioterapi. Ia merupakan salah satu kaedah perubatan yang sangat efektif bagi merawat kelumpuhan saraf wajah atau lebih dikenali sebagai Bell’s Palsy.

Idea di sebalik rawatan ini adalah untuk mewujudkan semula interaksi atau rutin otak-ke-saraf secara perlahan-lahan. Matlamatnya adalah untuk mendapatkan semula keupayaan otot wajah untuk bergerak secara sendirinya sehinggalah pergerakan tersebut berlaku secara automatik seperti sedia kala. Rawatan ini juga dijalankan di bawah kendalian physio dan team perubatan yang lain. Jadi kesimpulannya, senaman wajah di dalam persekitaran fisioterapi dan senaman facerobics membawa konsep dan tujuan yang berlainan sama sekali.

 

Entri: Tini Lorna Lim