Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

Kenapa Anda Tak Boleh Makan Nasi Kalau Nak Kurus

Pernahkah anda bertanya, apa salahnya nasi dalam proses hendak kurus? Sering orang yang nak kurus, akan mendapat nasihat yang mereka tidak patut makan nasi. Adakah nasi itu racun yang merosakkan proses pembakaran lemak? Jadi, kalau tak makan nasi, apa yang anda boleh makan?

JANGAN FOKUS NASI

Kalau kata “jangan makan”, mungkin itu yang salah. Boleh diterima lagi nasihat-nasihat seperti “kurangkan”, malah itulah nasihat yang sebetulnya. Nasi tidak bersalah dalam hal hendak kurus. Kalau anda nak salahkan makanan, kita boleh kata juga jangan makan telur, jangan makan ayam, jangan makan ikan, daging, dan macam-macam lagi sebab mereka juga menggemukkan. Sebaliknya, benda pertama anda kena buat adalah “kurangkan”.

Tetapi, kenapa kena kurangkan nasi? Makan lain tak menggemukkan ke? Sebenarnya, semua makanan boleh menggemukkan kalau anda makan terlebih. Nasi tergolong dalam kumpulan karbohidrat, sama seperti kentang, roti, gula, dan lain-lain. Kalau anda kata kena kurangkan nasi, anda kena juga kurangkan makanan karbohidrat yang lain.

Fokus anda adalah pada pengurangan karbohidrat, bukanlah pada nasi. Tetapi, tempias bahang kepada nasi adalah bersebab. Satunya, nasi adalah makanan ruji kita dan ia sangatlah menyelerakan. Orang kita susah untuk mengawal nafsu makan dengan nasi. Jadi, apabila mereka terlebih makan nasi, sebab itu mereka susah untuk kurus. Sebenarnya, boleh sahaja kurus dengan memakan nasi tetapi kuantiti harus dikawal.

ANDA PERLUKAN KARBOHIDRAT

Lihat, saya kata anda perlukan karbohidrat, bukannya perlukan nasi. Benar, ada macam-macam makanan dalam kumpulan karbohidrat, tetapi nasi adalah yang paling mudah untuk disediakan untuk kita. Sebab itu, nasi selalu mendapat nama dalam misi kurus.

Kenapa anda perlukan karbohidrat? Ia adalah sumber tenaga utama badan kita untuk berkerja. Bukan untuk bersenam sahaja, malah untuk berkerja sampai ke tahap sel (metabolisme badan). Lagi-lagi mereka yang sedang cutting, perlukan karbohidrat untuk menjaga jisim otot mereka daripada terbakar.

PUCUK PANGKALNYA…

Anda kena faham kenapa nasihat “kurangkan nasi” itu diutarakan semasa hendak kurus. Kalau anda faham yang nasi adalah punca kepada kegemukan, maksudnya konsep pemakanan anda masih kurang mantap. Nasi tidak bersalah, sama dengan pizza, burger, ayam goreng, kentang putar, dan lain-lain. Yang salahnya dalam kurus adalah “terlebih makan”.

Tag: