Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

Kenapa Makan Malam Boleh Menyebabkan Anda Tidak Kurus

Kita selalu bincang cara untuk membakar lemak dan membina otot dengan cepat, tapi Admin jarang bincang tentang pemakanan. Jadi, beberapa hari lepas, Admin dapat soalan berkaitan makan malam dan kenapa ramai tak bagi makan malam kalau nak kurus. Katanya sebab badan nak tidur, jadi ia tak bergerak. Lalu, tak ada pembakaran kalori berlaku. Makanan yang dimakan akan disimpan menjadi lemak.

 

Itu bukan kesnya sebab badan kita sentiasa bergerak dan berfungsi walaupun sedang tidur. Malah, dalam waktu tidurlah badan kita melakukan fungsi membaikpulih sel-sel dalam badan. Kalau mereka kata makan malam menggemukkan, adakah ini bermaksud makan banyak-banyak waktu siang tidak akan buat anda gedebab? Mudahlah kalau betul begitu!

 

Sebenarnya, makan malam tidak menggemukkan, begitu juga makan siang, makan tengahari, makan petang, makan supper, semua jenis makan. Tetapi, yang menggemukkan pula boleh jadi pada waktu makan pagi, makan tengahari, makan petang, makan malam, dan lain-lain. Sama sahaja, bukan? Sebab, masa makan bukan punca utama anda gemuk, sebaliknya ialah kuantiti makanan anda ambil dalam seharian. Anda boleh makan sehari sekali dan masih jadi gemuk. Anda boleh pula makan 8 kali sehari tapi kekal kurus, ramping, dan sado.

 

Punca orang kata makan malam menggemukkan terletak pada makan ikut nafsu. Tambahan pula, orang kita malam-malam suka lepak di kedai-kedai makan, terutama sekali selepas gym bersama kawan-kawan. Makan yang dicanai-canai, minum yang ditarik-tarik, semuanya manis-manis, berminyak belaka. Ini adalah punca utama kenapa makan malam menggemukkan, bukannya sebab “malam” itu sendiri. Kalau tak keluar makan pun, sama sahaja di rumah, mulut suka mengunyah.

 

Jadi, fahami bahawa masa makan tidak bertindak secara terus kepada kegemukan (tidak dinafikan ada sedikit kesan). Fokus anda, jika anda mahu bina badan dan bakar lemak, ialah pada penjagaan dan pengawalan makan. Orang kata diet, tetapi fahami maksud diet dan fahami juga asas pemakanan sihat serta seimbang.