Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

Kenapa Rasa Sakit Sangat Badan Selepas Bersenam?

Admin terbaca komen tempoh hari dalam salah satu post Admin, ada yang minta Admin untuk tulis berkaitan sakit kakinya yang lebih daripada seminggu belum hilang-hilang lagi. Seumpama lagi… sakitnya tuh di sini di dalam hati! Tapi untuk yang ini, sakitnya itu di otot kaki, sampai nak berjalan macam manusia biasa pun tak boleh. Alien tengok pun hairan sebab jalan terkangkang-kangkang.

 

Kenapakah boleh jadi begini, dan bagaimanakah cara untuk mengatasinya?

 

DOMS

Delayed onset muscle soreness adalah nama yang diberikan bagi kondisi sakit-sakit otot selepas workout ini. Daripada namanya sahaja, kita boleh deduksikan yang sakit otot itu berlaku selepas anda habis bersenam, dan mungkin sekali bertambah sakit berhari-hari selepas anda bersenam. Adakah sakit ini bagus untuk membina badan?

 

Sakit itu terjadi akibat latihan itu sendiri, dan biasanya mereka yang jarang berlatih sesuatu bahagian dan cuba-cuba untuk melatih bahagian tersebut (biasanya bahagian kaki yang orang malas nak buat), mereka akan rasa sakit yang amat pada hari berikutnya. Berlawanan dengan mereka yang dah kerap berlatih, sakitnya itu kurang dirasai tetapi ini tidak bermakna latihan mereka tidak berkesan. Ia cuma membawa maksud yang badan mereka sudah adapt dengan latihan tersebut.

 

Sakit ini ada baik dan ada kurangnya. Baiknya, ia sebagai trofi menandakan anda memang workout gila-gila pada hari semalam. Buruknya, kalau sakit sangat, anda tak dapat berfungsi dengan baik, anda susah nak buat kerja, anda nak pergi gym berlatih lagi pun mengalami kesukaran. Lantas, ia boleh mendorong kepada malas.

 

Cara Atasinya

Pertama sekali, jangan overtraining lebih-lebih lagi kalau anda baru nak mula semula, atau baru nak mulakan latihan. Seperti squat yang ramai tak suka buat, ada yang buat sebulan sekali, 6 bulan sekali. Jadi, tiba masa untuk squat, mereka hentam cukup-cukup. Lantas, esoknya mulalah merangkak sepanjang jalan.

 

Sebaliknya, anda kena berpegang pada kata-kata sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Biar konsisten dan berkualiti daripada mementingkan kuantiti. Squat ringan sekali seminggu untuk 52 minggu adalah lebih baik daripada squat 100% sekali sebulan. Maksudnya, kunci utama untuk mengatasi masalah ini adalah dengan lebih kerap berlatih dan jangan tinggalkan squat.

 

Sakit Sangat Nak Buat Macam Mana

Anda boleh letakkan ice selama 15 minit untuk 3-4 kali sehari pada bahagian-bahagian yang berasa sakit ini. Pastikan berlapik kerana anda tak mahu terkena frost bite pula. Lakukan ice ini selama tiga-empat hari dan pada masa anda tidak melakukan ice, anda boleh lakukan urutan ringan menghala ke arah jantung diikuti dengan regangan otot untuk bahagian yang sakit.

 

Selepas itu, kalau anda masih boleh pergi ke gym, Admin galakkan anda buat rehat aktif di mana anda akan bersenam juga tetapi sekadar untuk “memanaskan badan”. Gunakan bebanan yang cukup ringan supaya anda dapat gerakkan badan dan keluarkan peluh sedikit.

 

Daripada segi pemakanan, anda kena lebihkan nutrisi anda terutamanya protein. Ini kerana, protein amat diperlukan untuk memperbaiki sel-sel otot yang rosak semasa latihan. Dalam keadaan anda memang susah nak berjalan, anda sangat perlu untuk makan banyak. Ramai ingat makan banyak semasa hari workout sahaja, hari rest makan biasa-biasa pun tak apa. Ini adalah konsep yang salah, sebenarnya. Malah, masa rehat adalah masa yang lebih penting untuk makan lagi banyak daripada biasa.

 

Andai kata otot anda terlalu sakit sampai memang tak boleh nak digerakkan langsung, Admin cadangkan anda pergi berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan professional. Apa yang Admin bagi adalah nasihat secara atas talian, dan ini tidak dapat menggantikan rawatan yang diberikan doktor sendiri.