Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

Kepentingan Menjadi Tangkas (Dan Bagaimana?)

Ketangkasan adalah kebolehan untuk bergerak, menukar arah pergerakan serta posisi tubuh secara efektif dan terkawal. Ia memerlukan kepantasan refleks, koordinasi, keseimbangan, kelajuan serta ketepatan tindak balas terhadap perubahan situasi.

Ketangkasan yang baik membolehkan anda bertindak balas terhadap apa sahaja yang berlaku di sekeliling anda dengan mengubah posisi atau kedudukan tubuh bagi mengekalkan keseimbangan dan kawalan.

 

Mengapa Ketangkasan Sangat Penting?

Ketangkasan merupakan salah satu komponen kecergasan yang penting dalam mana-mana aktiviti fizikal dan sukan. Namun, kualiti ini bukan terhad kepada atlet semata-mata. Kita semua boleh menjadi tangkas macam atlet dan memanfaatkannya di dalam kehidupan seharian.

 

Dalam menjalani rutin seharian, kita lebih banyak bergerak ke hadapan atau berdiri setempat, bukan? Tetapi, cuba bayangkan satu situasi di mana anda perlu bergerak dengan pantas dengan posisi dan arah yang berlainan daripada kebiasaan.

 

Lihat contoh situasi yang berikut:

  • Anda tergelincir
  • Anda bertembung dengan seseorang atau sesuatu
  • Anda terpaksa melangkaui lubang atau lopak air secara tiba-tiba
  • Anda perlu mengelak daripada sesuatu
  • Anda sedang berjalan di atas permukaan yang licin

 

Bagi mengatasi situasi tersebut, mungkin anda perlu bergerak ke sisi, ke penjuru, membelok ke arah lain atau melangkah lebih panjang daripada kebiasaannya. Melalui ketangkasan yang baik, anda boleh menyelamatkan diri daripada situasi yang kekok, memalukan dan juga berbahaya.

 

Sebab itulah kita perlu meningkatkan ketangkasan dengan melatih minda dan kaki untuk bergerak ke arah yang berbeza-beza bagi memastikan tindak balas yang pantas dan kawalan tubuh yang baik di dalam situasi yang tidak dijangka. Bukan itu sahaja, kemahiran ketangkasan juga boleh dimanfaatkan sehinggalah ke hari tua, di mana risiko kecederaan semakin meningkat.

 

Berikut adalah beberapa latihan ketangkasan yang boleh anda cuba sebagai permulaan. Pilih salah satu dan lakukan 1-2 kali seminggu.

 

Lateral Agility Drill

Letakkan 2 buah kon, kerusi atau buku dalam jarak beberapa kaki antara satu sama lain, sebagai titik mula dan akhir. Melangkah ke sisi dengan pantas ke titik akhir dan sentuh lantai. Kemudian, kembali ke titik mula dan sentuh lantai. Ulangi pergerakan tersebut selama 30 saat.

 

Sprint Drill

Letakkan 3 buah kon dalam satu garisan lurus dengan jarak kira-kira 50 kaki antara satu sama lain. Anda juga boleh gunakan tiang elektrik, pokok dan apa sahaja yang boleh dijadikan tanda. Mulakan latihan dengan memecut atau berjalan pantas dari titik mula ke titik tengah. Kemudian, undur dengan berlari/berjoging/berjalan pantas ke titik mula. Selepas itu, lakukan pecutan ke titik akhir dan undur ke titik mula. Rehat seketika dan ulangi langkah ini sebanyak 5-10 kali.

 

Cara lain bagi menerapkan latihan ketangkasan ke dalam program senaman anda adalah dengan mengikuti sukan badminton, tenis, bola keranjang, bola jaring, futsal, bola sepak dan sebagainya. Namun, jika anda inginkan kepelbagaian, rujuk video ini dan anda akan mempelajari 30 jenis Ladder Drill daripada tahap asas sehinggalah ke tahap lanjutan. Apa yang anda perlukan hanyalah pita pelekat dan usaha yang berterusan. Selamat berjaya!
Entri: Tini Lorna Lim