Macam Mana Minum Air Kosong Boleh Bakar Lemak

Pernah dengar atau tidak orang bagi nasihat yang kalau anda nak jadi lebih kurus dan membakar lemak dengan cepat, anda kena minum banyak air? Memang betul pun kalau anda nak cepat kurus, anda kena rajin-rajin minum air kosong (bukan air manis, ya). Tetapi, persoalannya kenapa?

 

1- Anda Akan Bakar Lebih Kalori

Sewaktu badan anda berehat, badan anda sebenarnya masih berkerja untuk memproses apa-apa sahaja yang ada dalam badan (daripada makanan sehinggalah proses penyerapan nutrien ke dalam sel-sel tertentu). Air yang diminum juga perlu ditapis dan diserap nutriennya. Kesemua ini memerlukan tenaga daripada badan untuk diselesaikan, dan tenaga ini datang dalam bentuk kalori.

 

Disebabkan air kosong bersifat kosong kalori, anda membakar lebih banyak kalori daripada apa yang anda ambil. Dengan kata lain, anda minum kosong kalori, anda bakar sekian-sekian kalori. Ia memaksa badan anda untuk berkerja bagi “menghadam” air tersebut dan ini memerlukan tenaga.

2- Anda Akan Kurang Selera Makan 

Ini bukanlah ciri-ciri keutamaan meminum air, kerana ada yang masih perlu berselera untuk makan (seperti mereka yang sedang sizing). Tetapi, meminum banyak air adalah keperluan kepada semua, dan meminum banyak air sangat membantu mereka yang sedang cutting dengan tujuan untuk menampakkan lagi otot dan menipiskan lemak di badan.

 

Pernah tak anda minum secawan air sebelum anda makan, kemudian makanan yang anda ambil tadi banyak-banyak, sukar untuk dihabiskan? Ini sebab perut anda sudah berisi air dan sukar pula untuk diisi lagi dengan makanan.  Perkara ini paling jelas sekali adalah pada bulan puasa. Pergi ke bazaar nampak semua berselera. Tetapi, usai pulang ke rumah dan berbuka, secawan air sudah buat kita rasa lega dan tak sempat menjamah semua makanan yang dibeli.

 

Berapa Banyak Air Yang Anda Perlukan?

Konsumsi air bergantung kepada empunya badan. Semakin aktif empunya badan, semakin tinggi keperluan air harian. Tetapi, untuk panduan umum, anda boleh amalkan 8 gelas air kosong sehari, iaitu dalam 2 liter air kosong. Mungkin sekali anda perlukan lebih banyak, seperti warga yang berumur dan juga mereka yang sedang sarat mengandung. Sebab itu perkara ini adalah subjektif.

 

Prinsip utama anda kena pegang adalah untuk meminum sebelum anda mula rasa dahaga. Kalau anda tunggu sampai dahaga, itu bermakna anda sudah kekurangan air. Jangan tunggu dahaga baru hendak minum. Sediakan botol air sentiasa dan hirup sedikit setiap jam.