Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

Makanan Sukan Terunggul: Mentega Kacang? Ketahui Sebabnya.

Tidak kiralah samada anda bersukan, bersenam atau menyertai maraton, anda memerlukan nutrisi yang terbaik untuk kecergasan jasmani, kecerdasan minda dan prestasi yang bertenaga. Terdapat satu sumber nutrisi yang seringkali disisihkan kerana dikatakan mengandungi lemak dan kurang berkhasiat. Ya, mentega kacang. Sebenarnya, lemak yang terdapat di dalam mentega kacang dikategorikan sebagai lemak sihat.

 

Menurut National Institute of Health (NIH), satu-satunya ‘kelemahan’ mentega kacang bukanlah disebabkan oleh lemak yang terkandung di dalamnya, tetapi disebabkan oleh sesetengah individu yang alergik terhadapnya. Jika isu alergik ini tidak membabitkan anda, maka mentega kacang bolehlah digelarkan sebagai ‘superfood’ yang bersesuaian dengan gaya hidup anda yang aktif.

 

Nak tahu rahsia mengapa mentega kacang boleh jadi superfood? Mari tambahkan ilmu:

 

Kaya dengan Pelbagai Jenis Nutrien dan Mineral.

Mentega kacang bukan sahaja kaya dengan sumber fiber dan protein, tetapi ia juga merupakan antara sumber terbaik bagi mendapatkan vitamin E, niacin, folate berserta dengan berbagai jenis nutrien dan mineral yang lain.

 

Pencetus Tenaga Segera

Mentega kacang membekalkan tenaga sebanyak 190 kalori bagi setiap 2 sudu hidangan. Memang sesuai dijadikan snek pre-workout sebelum memulakan sesi latihan kekuatan dan daya tahan otot bagi memastikan keupayaan tubuh untuk memenuhi kehendak fizikal serta menjadikannya lebih efisien.

 

Pre-Workout Snek Yang Baik dan Membantu Pemulihan Otot

Protein membekalkan asid amino yang membantu proses pemulihan otot. Oleh itu, jika anda mencari snek yang kaya dengan sumber protein, berita baik untuk anda. Mentega kacang mengandungi 7 gram protein untuk setiap auns berbanding sumber kekacang lain yang membekalkan sumber protein sebanyak 4-6 gram protein untuk setiap hidangan.

 

Menjaga Jantung Anda

Memang terdapat lemak dalam mentega kacang tetapi ianya lemak yang sihat. Malah, tahap lemak tepu dan kolesterol yang terkandung di dalamnya adalah rendah. Kajian saintifik menunjukkan bahawa pengambilan sebanyak 1.5 auns mentega kacang setiap hari dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit jantung. Academy of Nutrition and Dietics telah menyenaraikan mentega kacang di dalam satu terbitan yang bertajuk ‘Choose Healthy Fats’ pada tahun 2014. Mereka menyarankan agar tidak membuang lapisan minyak yang terkumpul di atas permukaan mentega kacang asli agar segala nilai kebaikan nutrien dan manfaat kesihatannya dapat dinikmati.

 

Membantu Menurunkan Berat Badan

Siapa kata mentega kacang menyebabkan kegemukan? Kena ingat, berat badan bertambah disebabkan oleh pengambilan kalori harian secara berlebihan. Kalau sekali makan mentega kacang terus habis separuh balang, jangan salahkan makanan, tetapi salahkan yang pegang sudu itu. Kajian menunjukkan bahawa mentega kacang membantu anda merasa kenyang lebih cepat. Satu kajian yang diterbitkan di dalam International Journal of Obesity mendapati bahawa individu dengan jumlah kalori harian yang mengandungi lebih kurang 30% lemak mono dan poli tak tepu, berjaya mencapai penurunan berat badan untuk jangka masa panjang.

 

Entri: Tini Lorna Lim