Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

Ramai Nak Kurus Tapi Asyik Main Treadmill Sahaja

Mesin kegemaran fitness newbie ataupun penggemar fitness dan pencebur kecergasan yang baru ialah mesin kardio seperti basikal statik, treadmill, dan semestinya mesin perut untuk naikkan six pack. Kalau di kawasan lain seperti tempat free weight dan bina badan, mereka susah nak jejakkan kaki.

 

Faham, ramai tak mahukan badan seperti bodybuilder yang tampil berketul-ketul. Ditambah pula dengan imej memakai baju adik-adik yang ketat belaka. Jadi, mereka cuma mahukan badan fit sahaja (kata mereka) lantas mereka menjauhkan diri daripada kawasan free weights.

 

Kesilapan besar ramai orang ialah menyangka yang senaman bebanan hanya membina otot dan menjadikan badan mereka berotot sasa. Sedangkan, senaman bebanan adalah senaman yang dilakukan untuk menguatkan otot, jantung, tulang, dan juga membakar lemak. Pembesaran otot itu hanyalah “side-effect” dia sahaja.

 

Senaman bebanan, tak kira menggunakan mesin ataupun freeweights (bagi yang bertanya – freeweights ialah dumbbell dan barbell), akan membakar lebih banyak kalori berbanding senaman kardio berjalan atau berjogging atas treadmill. Plot twist, ia tidak membakar semasa senaman tetapi membakar semasa anda berehat di rumah.

 

Apabila anda buat senaman rintangan sebegini menggunakan bebanan, anda akan menyebabkan lebih banyak kerosakan mikro (benda baik) pada otot berbanding kardio. Kerosakan mikro ini memerlukan tenaga dan nutrisi yang cukup untuk diperbaiki. Kata kunci di sini ialah ia memerlukan tenaga, maksudnya ia akan membakar kalori.

 

Betul, anda sering lihat orang yang main gym angkat berat-berat bukanlah begitu kurus pun, walhal saya kata tadi angkat bebanan boleh bakar lebih banyak kalori hatta membakar lebih banyak lemak. Tapi, kenapa mereka tak kurus-kurus pun?

 

Sebabnya, faktor pertama dan paling utama dalam membakar lemak dan menguruskan badan bukanlah terletak pada jenis latihan yang anda buat tetapi ia bergantung pada pemakanan (diet) anda yang konsisten dalam seharian dan diamalkan untuk berminggu-minggu, berbulan-bulan.

 

Kalau anda nak kurus dan mula bakar lemak, apa yang anda kena buat ialah begini:

1- Belajar tentang asas pemakanan

2- Amalkan gaya pemakanan sihat

3- Mula kira kemasukan kalori harian

4- Lakukan latihan rintangan

5- Jangan tinggalkan kardio

 

Tidaklah begitu susah, bukan? Cuma, kena konsisten sahaja sepanjang perjalanan.