Online Shop
Free Shipping to Peninsular Malaysia Shipping Worldwide Need Help? +6013-9921806 (WhatsApp & Call)

Tidur Lewat Setiap Hari? Patutlah Badan Tak Jadi-Jadi!

Pelik betul, makan dah jaga, training hari-hari tak tinggal siap hentam sampai nak pengsan orang tengok. Tapi, badan masih tak jadi-jadi juga. Supplement jangan cakaplah, memang bertimbun ambil dekat rumah. Kenapa boleh jadi macam ini?

 

Kalau terjadi dekat anda, memang akan rasa stress sangat. Siapa tak tertekan, duit habis dah beribu-ribu tapi goal kita makin hari nampak makin jauh perginya, bukan makin dekat! Apalah yang kurang lagi sebenarnya? Mungkin kena ambil steroid?

 

Inilah pemikiran ramai antara kita yang masih lagi sampai sekarang belum berjaya bina badan (meskipun baru berlatih untuk 2-3 bulan). Sampaikan dah fikir untuk gunakan steroid kerana geram badan tak menjadi lagi. Salah siapa sebenarnya? Mungkin mereka tak sedar yang perkara ini terjadi kerana salah sendiri sahaja.

 

Tidur memainkan peranan besar dalam dunia bina badan. Jangan pula anda pandang rendah dengan tidur kerana masa inilah badan anda akan lalui proses pemulihan dan otot anda pula akan membesar serta menjadi lebih kuat. Tak cukup tidur, bila masa otot badan boleh repair diri sendiri?

 

Protein memang penting, diet memang penting, latihan pun penting, tapi jangan lupa tidur juga penting dalam membesarkan otot. Setiap malam, anda tidur pukul berapa? Adakah tidur anda lena atau kerap kali terjaga? Mungkin anda tidur lewat pagi kerana keluar makan dengan kawan di kedai mamak?

 

Malam adalah masa untuk kita berehat, tetapi bagi sesetengah orang itulah masa mereka berkerja. Ini tidak mengapa, kerana mereka masih tidur di waktu pagi. Yang keluar lewat malam pulang lewat pagi, anda buat apa sebenarnya? Tahu tak kitaran tidur kita mempengaruhi hormon badan manusia?

Mereka yang tidak mendapat tidur yang cukup akan terganggu rembesan hormon yang baik. Apabila seseorang tidak dapat berehat secukupnya, beliau mudah untuk berasa stress dengan aktiviti seharian lantas menyebabkan lebihnya rembesan hormon stress (kortisol). Ini antara hormon yang mengganggu kenaikan otot dan pembakaran lemak.

 

Jika boleh, dapatkan 6-8 jam tidur yang lena setiap hari bagi memastikan badan anda cukup rehat. Macam mana nak tahu cukup atau tidak? Bangun esok pagi, adakah anda rasa bertenaga dan kuat untuk jalankan aktiviti harian anda? Ataupun, anda rasa malas-malas sahaja?

 

Kemudian, pernah tak anda rasa sakit-sakit otot selepas workout? Itu dinamakan DOMS dan salah satu ubatnya adalah dengan tidur. Pada masa inilah badan anda berfungsi untuk merawat DOMS, tetapi jika tidur anda tidak cukup, maksudnya anda sendiri tak beri peluang kepada badan untuk membesar.

 

Selepas ini, pastikan anda dapat rehat yang mencukupi setiap hari. Jangan pula terlajak tidur sampai tak pergi kerja. Sebab itu kena masuk tidur awal, bukannya lepak di kedai makan malam-malam sampai mengganggu kerja keesokan harinya!